Saturday, March 27, 2010

Tandas Jepun

Tandas adalah satu elemen penting dalam kehidupan seharian. Paling tidak, sekali sehari kita semua akan menggunakannya.

Antara perkara yang saya sukai mengenai Jepun ialah tandas elektronik. Saya sangat kagum dengan ciptaan ini. Saya juga telah pasang satu tandas elektronik yang paling murah di pasaran Jepun di rumah dan saya sangat berpuas hati dengannya.

Tahukah anda bentuk dan penggunaan tandas Jepun berbeza sedikit dengan Malaysia. Saya dah lama hendak berkongsi maklumat mengenai tandas Jepun ini.

Di mana-mana, samada pasaraya, komplek membeli belah, pejabat, terdapat dua jenis tandas yang disediakan iaitu jenis Oriental (和式-washiki) dan jenis Barat (洋式-youshiki). Kemudahan ini disediakan samada salah satu, atau kedua-duanya sekali dalam bilik air.
Umumnya kedua-dua jenis ini adalah tandas kering, bermakna mereka menggunakan tisu tandas. Jadi jangan lupa bawa sebotol air kecil jika masuk ke tandas :) kerana tiada kepala paip di dalam tandas

Mari kita lihat satu persatu ciri-cirinya.

1) Oriental (和式-washiki)

Berikut merupakan jenis oriental yang biasa dilihat di rumah-rumah lama, atau kompleks lama. Perhatikan ada sedikit bahagian menonjol di atas lubang tandas. Tahukah anda bagaimana menggunakannya?


Saya pasti mengikut kebiasaan orang Malaysia, bahagian menonjol tersebut pastinya adalah bahagian belakang atau bahagian punggung. Namun begitu ianya salah.
Berikut adalah cara menggunakan tandas jenis Oriental.

Bagi kaum lelaki, jika anda terkencing semasa berhajat, maka bahagian tandas menonjol ini akan mengelakkan anda terpancut keluar dari landasan. Maka persekitaran tandas akan sentiasa kering.
Perhatikan juga paip air di tepi tandas. Ia berfungsi sebagai pemegang sekiranya anda perlukannya ketika meneran.

2) Barat (洋式-youshiki)
Berikut pula merupakan jenis Barat. Pastinya tidak asing bagi kita.
Namun ada sedikit kelainan dimana penutup tandas ada sedikit bahagian lopong berbentuk U.
Ini juga mengelakkan daripada air kencing mengotori bahagian tersebut.
Terdapat juga saluran paip kecil di atas pam tandas. Selepas tangki air kosong selepas dipam, air akan masuk semula melalui paip ini dan jatuh kedalam tangki air melalui lubang kecil di atas tangki. Jadi sebagai langkah penjimatan air, air yang keluar dari paip ini digunakan untuk mencuci tangan. Maka tiada kepala paip air tambahan disebelah tandas dan tandas akan sentiasa kering.

Dengan kemajuan teknologi Jepun, bangunan-bangunan baru mula menggunakan tandas elektronik. Berikut merupakan tandas elektronik yang mungkin anda akan temui jika berada di Jepun. Umumnya terdapat panel kawalan di sebelah kanan dengan pelbagai butang.

Panel kawalan adalah seperti berikut.
SHOWER untuk pancutan air ke punggung dan tekanan pancutan air boleh dikawal dengan melaraskan SPRAY STRENGTH. Untuk menghentikan pancutan, tekan butang STOP. Tandas ini juga mempunyai penderia (sensor) dimana sekiranya anda tidak duduk di atasnya, panel tidak akan berfungsi. Jadi jangan risau kerana pancuran air tidak akan berlaku ketika anda sibuk memakai semula seluar.
BIDET digunakan khas untuk kaum wanita.


Fungsi panel diatas adalah yang paling asas. Terdapat juga variasi fungsi tambahan seperti
1) tekanan pancuran air berirama.
2) kawalan suhu air pancuran
3) hembusan angin suam dari bawah untuk mengeringkan punggung selepas pancuran
4) penutup tandas autmatik, dimana sekiranya pengguna datang ia terbuka sendiri dan tertutup sendiri sekiranya pengguna meninggalkannya
4) semburan pewangi automatik selepas penggunaan
dan sebagainya. Sudah tentulah harganya lebih mahal untuk yang lebih canggih.

Saya sendiri memasang satu di rumah yang dengan fungsi paling asas dengan harga JPY20,000 iaitu lebih kurang RM700. Pastinya saya akan bawa pulang satu yang baru untuk dipasang di rumah Malaysia nanti.

Penggunaan tandas ini terpulang ke pada anda. Mungkin anda mahu mencangkung di atas tandas jenis Barat. Atau mencangkung berlawanan arah ketika menggunakan tandas jenis Oriental. Tiada siapa yang tahu bagaimana anda menggunakan tandas selepas pintu ditutup :)

Menariknya, terdapat siri animasi pendek yang popular di Jepun iaitu Shimajiro yang bertujuan untuk mendidik kanak-kanak mengenai penggunaan tandas dan menghargai fungsi tandas.
--> http://youtu.be/g6eu6nJKEbA


sambungan bahagian 2

Saturday, March 13, 2010

Trip ke Bangkok

Saya baru sahaja pulang dari Bangkok. Saya berpeluang ke sana untuk menghadiri Bengkel Mikro/Nanoteknologi (Southeast Asia International Advances in Micro/Nanotechnology 2010) bertempat di Montien Hotel. Jadi, saya ingin berkongsi pengalaman dan tip sepanjang saya berada di Bangkok.

Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok
Rakyat Malaysia tidak memerlukan visa jika berada di Thailand kurang dari 30 hari. Tetapi, sila pastikan informasi terkini di laman web Kementerian Luar Negeri Malaysia. Di lapangan terbang ini, terdapat sebuah surau di Tingkat 2 dan di depannya terdapat sebuah kiosk yang menjual makanan ringan yang halal ditanda dengan label حلال. Perkhidmatan internet tidak ditawarkan secara percuma. Internet tanpa wayar perlu dilanggan dengan membeli kad pra-bayar.
Sebuah kiosk kebab halal dan surau juga berada di balai pelepasan, selepas melalui pemeriksaan passport. Jadi tiada masalah untuk sembahyang dan makanan halal di lapangan terbang.

Makanan Halal
Untuk mencari makanan halal di Bangkok tidaklah begitu sukar. Banyak juga produk-produk yang dijual di pasaraya, 7-11, Family Mart yang disahkan halal oleh badan bertanggungjawab di Thailand. Hanya cari produk, seperti mee segera, roti atau biskut yang ditanda dengan cop halal seperti di bawah.




Di kompleks membeli belah seperti Platinum dan MKS juga terdapat restoran halal. Sebagai contoh di MKS, terdapat sebuah restoran masakan India, Indonesia dan Thai yang halal di ruang makan antarabangsa di Tingkat 5. Di Platinum pula, ada sebuah penyedia makanan Thai di medan seleranya.
Saya juga berkesempatan menikmati masakan tempatan di warung muslim, pasar minggu Chatuchak.
Kadangkala terdapat penjaja muslim yang menjaja makanan di atas troli bergerak di tepian jalan. Troli mereka ditanda dengan حلال atau dapat juga dikenali melalui cara berpakaian mereka, bertudung bagi perempuan dan berkopiah bagui lelaki.
Jika anda susah untuk menemui makanan Halal di tempat anda menginap, pergi sahaja ke stesyen BTS "Nana". Turun sahaja dari stesyen tersebut, anda akan terus nampak pelbagai restoran India/Pakistan muslim di kawasan tersebut.
Umumnya, bagi saya, isu makanan tidak menjadi masalah di Bangkok.

Surau
Kemudahan ruang sembahyang disediakan di beberapa kompleks membeli-belah. Setakat pengetahuan saya, Siam Paragon dan Platinum menyedia ruang sembahyang dan ditanda dalam direktori lantai mereka.

Bahasa
Seperti yang sedia maklum, bahasa utama di Thailand ialah Bahasa Thai. Tulisan pula menggunakan skrip Thai. Di kawasan tarikan utama pelancong, papan tanda di tulis dengan alternatif huruf roman. Ejaan huruf roman pula tidak menggambarkan sebutan yang betul dalam Bahasa Thai.
Tiada satu huruf roman pun yang tercetak di atas nota wang mereka. Saya pada awalnya bermasalah untuk membezakan duit syiling baht dan satang kerana semuanya ditulis dengan skrip Thai.
Peniaga di kawasan pelancongan mungkin boleh sedikit berbahasa Inggeris. Tetapi sekiranya berada di pasar terapung atau pasar tempatan, mereka langsung tidak boleh berbahasa Inggeris dan menu makanan atau apa jua ditulis dengan skrip Thai. Jadi, gunakanlah apa jua skill komunikasi yang anda rasa berfungsi :)

Pengangkutan
Kaedah pengangkutan yang paling mudah ialah mengunakan BTS (setara dengan monorel di Malaysia) atau MRT (tren bawah tanah seperti PUTRA LRT. Tuk-tuk atau kereta beroda tiga juga agak popular dan murah berbanding teksi. Yang menariknya, terdapat perkhidmatan motorsikal, sesuai untuk seorang pembonceng sahaja. Topi keledar tidak disediakan.

Bangkok, bandar yang dinamik dan unik. InsyaAllah jika berpeluang, saya akan ke sana sekali lagi bersama keluarga di masa hadapan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...