Thursday, January 20, 2011

Prosedur ke Jepun

TERKINI September 2013: Bagi tujuan lawatan jangka pendek, rakyat Malaysia kini tidak perlu memohon visa lagi tertakluk kepada passport. Passport lama masih lagi perlu visa, passport keluaran baru tak perlu visa lagi. Bestnya! Untuk maklumat lanjut lawati laman web kedutaan Jepun di Malaysia --> http://www.my.emb-japan.go.jp/English/visit.html
 
Baru-baru ini saya ada terima email dari peminat teknologi Jepun yang ingin tinggal di Jepun. Ramai juga kawan-kawan yang berminat melancong ke Jepun. Melancong memang seronok kalau poket berisi.

Visa Jepun
1) Umumnya, semua jenis urusan bagi rakyat Malaysia untuk masuk ke Jepun memerlukan visa. Visa pelawat, visa pekerja, visa pelajar. Macam2 jenis.
2) Saya pernah mohon visa pelawat pada Ogos 2007 untuk menduduki peperiksaan kemasukan universiti. Kemudian mohon visa pelajar pada Oktober 2007. Bayaran kedua-dua visa ini percuma dan boleh dipohon di pejabat kedutaan (KL) atau konsulat jepun (Penang, JB, KK).
3) Biasanya mengambil masa 3 hari berkerja untuk diproses.
Untuk syarat-syarat permohonan boleh lawat sini--> http://www.my.emb-japan.go.jp/English/visit.html
4) Untuk melancong di Jepun, sila beri pehatian kepada keperluan berikut
"6. Personal savings, latest current account statement, fixed deposit, Tabung Haji or Amanah Saham Berhad (ASB) (original certified true copy by the bank) (need to show the applicant’s name as the account owner, account number and current balance)"
Beberapa rakan saya tidak lepas permohonan visa kerana jumlah terkumpul dalam akaun tidak meyakinkan pihak kedutaan. Sekurang-kurangnya jumlah terkumpul RM10k perlu dibuktikan untuk mengelakkan permohonan ditolak. Syarat ini dikenakan untuk mengelakkan pemohon datang ke Jepun melencong dari tujuan untuk melancong dan bekerja secara haram untuk mendapatkan pendapatan tambahan.

Tiket penerbangan
1) Bergantung kepada destinasi, kos dan syarikat penerbangan boleh bertanya terus kepada ejen perlancongan atau beli sendiri melalui web. Terkini AirAsia telah melancarkan penerbangan terus KLIA-Haneda, Tokyo.
Syarikat-syarikat lain termasuk MAS, Japan Airlines (JAL) dan All Nippon Airways (ANA).
2) Kadangkala harga di ejen lebih murah dari harga di web. Yang penting, buat sedikit kajian komparatif, dan dapatkan harga terbaik untuk perjalanan yang dipilih.
3) Sila ambil perhatian terdapat dua airport penting di Tokyo iaitu Narita dan Haneda. Jarak perjalanan menggunakan bas limousin antara kedua-dua airport ini adalah hampir 2 jam. Pastikan airport yang betul.
4) Tiket penerbangan laluan terbaik paling murah untuk laluan KLIA-Sapporo yang pernah saya beli adalah RM2.5k
     i) Ogos 2007: Korean Air:  KLIA->Incheon,Korea->Sapporo->Incheon,Korea-KLIA
     ii) May 2009: JAL: KLIA->Tokyo->Sapporo->Tokyo->KLIA
5) Terdapat juga laluan KLIA-Sapporo lain yang lebih murah seperti melalui China Airways, Cathay Pacific, tetapi masa transit yang lama hampir sehari, atau memerlukan transit dari Haneda Airport ke Narita Airport dan sebagainya menyusahkan untuk yang berkeluarga dengan anak kecik atau warga veteran.
6) Untuk laluan KLIA-Tokyo-KLIA, saya pernah ternampak promosi MAS dan AirAsia serendah RM1.5k. Ini merupakan anggaran saya sahaja.

Bila masa terbaik untuk ke Jepun
1) Untuk bermain salji, bulan Januari. Tetapi bandar sepeti Tokyo dan Osaka hanya bersalji dalam sehari atau dua sahaja dalam setahun. Bandar di bahagian utara Jepun seperti Sapporo. Sendai, Akita bersalji lebih dari 3 bulan!
2) Elakkan bulan Julai kerana ia musim taufan. Angin kuat!
3) Mahu melihat sakura berkembang? Waktu sakura mengembang bergantung kepada lokasi dan tahan hanya seminggu sahaja. Boleh rujuk link berikut-->http://www.japan-guide.com/e/e2011_when.html
4) Disneyland Tokyo? Saya tidak begitu enjoy di sini. Sebabnya semua penjelasan, pengumuman..semua kebanyakan dalam bahasa Jepun. Teringat bila masuk rumah hantu, ada penceritaan..orang lain semua menjerit ketakutan..tapi saya terpinga2 tidak faham apa yang diceritkan, siap menguap2 boring.. Mungkin kita boleh lihat kemegahana bangunan dan suasana Disney, tetapi mungkin kita tak faham arahan, walhal ingin pesan makan pun payah.
5) Musim bunga adalah masa yang paling seronok. Di Hokkaido musim bunganya panjang dari bulan 5 hingga bulan 8. Macam-macam jenis bunga, tulip, bunga matahari, ros, termasuk juga memetik buah-buahan, strawberi, anggur, lain, ceri. Seronok betul.

Semoga bermanfaat.

Entri berkaitan visa menghadiri persidangan/seminar/latihan--> http://kadoridesuyo.blogspot.com/2012/07/persidangan-seminar-kursus-di-jepun.html

Thursday, January 13, 2011

Bentuk kepingan salji

Aduss, salji semakin lebat di Sapporo. Pagi tadi Abi langsung x boleh nampak jalan. Menderu-deru salji turun dengan lebat berserta angin kuat. Peha Abi rasa kejang macam berjongging 10 km (padahal paling jauh pun 1 km..heheh). Agaknya meredah salji "fresh" setinggi hampir 30 cm memberi tekanan lebih pada kaki. Iman beruntung dapat merasa salji di Sappori ni walaupun nanti Iman mesti sudah lupa pengalaman ini.

Iman perasan x bentuk salji ini ada macam-macam. Ada kecil-kecil macam aiskrim solero. Ada macam gula-gula kapas. Ada macam lidi-lidi kecil. Abi paling suka kalau bentuk kepingan 6-segi. Kalau masa salji keping turun, Abi suka tadah, lepas tu tengok bentuk-bentuk yang bermacam corak. Ni gambar yang sempat Abi rakam dengan Iphone.
Iman nampak x? 6-segi kan? Kalau tengok yang real nampak dia punya corak yang cantik-cantik. Bukan senang nak ambil gambar salji keping-keping nih. Sebab bila kita dah tadah, dia cepat cair sebab tangan kita kan ada haba, haba yang sedikit boleh mencairkan si salji yang kecil. Kalau nak tengok bentuk-bentuk lain boleh tengok sini --> http://www.its.caltech.edu/~atomic/snowcrystals/class/class.htm . Bentuk dan corak salji bergantung kepada suhu dan kelembapan. Subhanallah. Kalau belajar mengenai penghabluran nanti, Iman mesti faham macam mana salji keping terbentuk. Dari titisan wap air yang sangat kecil, kemudian diselaputi wap-wap air lain di permukaannya, lalu membetuk kepingan besar. Bentuk simetri 6 segi disebabkan ikatan kimia molekul air yang membentuk kekisi hablur. Ishk..Iman x faham yer? Xpelah, janji kita bertasbih dengan kekuasan Allah.

Ni pulak timbunan salji depan sekolah Abi. Kesian basikal-basikal tersebut.
Pintu masuk universiti  yang 'simple'.
Laluan ke universiti bagaikan terowong.
Perjalanan sejauh hampir 1 km meredah ribut salji dari rumah ke universiti. Membuatkan kaki Abi kejang dan pipi mengeras.
Yang mengkagumkan Abi, walaupun cuaca dan keadaan geografi Jepun yang selalu terdedah dengan pelbagai bencana alam dan kesukaran, Jepun tetap juga maju. Semua itu bukanlah penghalang. Kagum betul.

Tuesday, January 11, 2011

Cita-cita

Iman bila besar nak jadi apa? Abi selalu usap-usap kepala Iman, sambil mengharapkan Iman jadi orang yang beriman. Bila ada keimanan, baharulah lahirnya perbuatan yang baik. insyaAllah.
 (Makan sushi, Iman paling suka makan tobikko atau telur ikan kecil2)

Abi tak kisah Iman tak jadi orang kaya raya. Abi tak kisah pun Iman tak belajar tinggi melangit. Janji Iman jadi orang berguna kepada masyarakat. Abi belajar sampai Phd yang belum habis lagi ini pun tak kaya2. Cuba senaraikan, ada tak 10 orang terkaya didunia yang ada PhD? Nak beli PhD pun boleh, tengok ni-->http://aididmuaddib.blogspot.com/2011/01/meeska-mooska-mickey-mouse.html. Ramai betul penipu besar.


Dulu Abi bercita-cita nak jadi doktor. Tapi doktor haiwan atau veterinari. Abi suka binatang. Masa Abi tinggal bujang dengan Uncle Azmi, Abi bela kucing bernama Enot. Enot ada banyak anak, Candy, Ferdy dan lain-lain. Semua bagi orang kat orang. Abi dapat keputusan SPM bagus. Tapi English sahaja yang dapat C. Biologi Abi dapat A1 tau!. Abi mahu apply kursus Veterinar di UPM. Nenek tak bagi. Nenek kata nanti kena pegang-pegang babi.

Abi buntu. Abi tak tahu nak pilih apa. Kemudian keluar di suratkhabar artikel mengenai Sains Industri. Abi tertarik. Abi pun apply UTM sebab UTM masa itu tiada program matrikulasi. Terus masuk program Ijazah. Cepat habis. Abi ada juga teringin mahu jadi doktor perubatan. Tapi masa pengajian lama sangat sampai 6 tahun. Abi nak cepat habis, nak kerja cepat, nak tolong nenek. Tak mahu susahkan sapa-sapa lama sangat. Kalau x cukup duit selalu jugak Mak Long Juy sponsor. Motor senget yang Abi pakai pon dari Tok Cik. Kalau teringat masa belajar kat U dulu memang sedih juga. Pernah sampai nak pengsan sebab makan roti je seminggu, tapi sebab genetik badan bulat xde pulak Abi nampak kurus kering. Nak telefon nenek, segan pulak. Iman kena ingat, kalau kita berjaya, pasti ada orang di belakang yang berkorban. Kita jangan lupa diri.

Di tahun ke-2 UTM, dari Sains Industri, Abi kena buat pilihan samada Matematik Industri, Kimia Industri, Fizik Industri, Biologi Industri, Fizik Kesihatan dan Fizik Bahan. Abi minat sangat Kimia. Dari sekolah memang Abi skor Kimia berbanding Biologi dan Fizik. Tetapi Abi tengok ramai sangat pulak ambil kimia. Pelajar melayu tak ramai ambil Fizik. Jadi Abi rasa, baiklah Abi pilih Fizik Industri, konon-kononnya untuk meramaikan pelajar melayu dalam bidang Fizik. Walaupun tak berapa minat sangat, tapi Abi teruskan jugalah. Yang penting habis on-time dan kerja cepat. Alhamdulillah, habis on-time dan kerja sebagai tutor di UPSI.

Sekarang Abi sudah berada di Jepun bersama Ummi dan Iman. Dulu oleh sebab English Abi memang selalu dapat corot dan x pernah dapat A, Abi x pernah ada cita-cita mahu belajar di luar negara. Masa sekolah rendah, Abi masuk kelas pertama, subjek lain semua ok, English sahaja yang corot. Memang selalu kena rotan dengan cikgu sebab markah rendah. Orang lain dalam kelas tu semua pandai English.. Tapi itu dulu, walaupun sekarang Abi xdelah terer mana English, tapi Abi juga tahu Nihongo (pun x berapa terer juga). Walaupun Abi tak dapat jadi Doktor Veterinar atau Doktor Perubatan, Abi akan usaha sehingga dapat Doktor Falsafah.
Cita-cita kadangkala tak dapat dicapai. Tetapi yang penting kita usaha dan tidak putus asa. Mungkin kita kena ubah cita-cita ikut situasi. Iman cita-cita nak jadi apa?

Tuesday, January 4, 2011

Iman NY tiup belon sabun

1) Iman sekarang sudah pandai marah-marah dan merajuk. Kalau marah, dia akan jerit "dame!" sambil pukul sisi badan. Kalau ada barang, dia campakkan barang tuh. Layan sajalah video ini.

Bila air sabun dah habis, dia marah-marah. Ummi pun isilah lagi. Gembira betul Iman sudah pandai tiup belon. Perut pun dah macam Abi da...hheheheh
*dame = jangan
owari = habis

2) Sudah hampir 5 hari Iman tidak menyusu badan, selepas Abi curahkan kicap pada kantung Ummi. Iman takut tengok hitam-hitam. Esoknya, Ummi conteng dengan marker hitam pula. Langsung Iman takut untuk lihat. Susah juga. Kadang-kadang Iman merengek. Kami bagi susu dalam botol. InsyaAllah Iman yakin boleh!

Saturday, January 1, 2011

Selamat Tahun Baru 2011

Selamat Tahun Baru 2011
Akemashite Omedetou Gozaimasu

Di Jepun, penjualan fukubukuro menjelang tahun baru sangatlah ditunggu-tunggu oleh sesetengah orang. Fukubukuro 福袋 bermaksud fuku 福 = nasib baik, bukuro 袋 = sarung. sebagai contoh, gedung elektronik gergasi Yodobashi menawarkan fukubukuro dalam pelbagai kategori dan harga. Contohnya, jika ingin membeli kamera kecil, harganya JPY20,000 untuk satu beg. Menariknya, kita tidak tahu kamera jenis apa dan harga yang ada dalam beg tersebut. Kalau bernasib baik, dapatlah kamera yang berharga 2, 3 kali ganda lebih mahal. Kalau tidak, kamera yang sesuai dengan harga JPY20,000 itu sahajalah yang dapat dimiliki. Ada yang sanggup beratur sebelum gedung dibuka untuk mencuba nasib.

Bukan sahaja barang elektrik, pelbagai barangan ditawarkan di awal tahun baru. Contoh lain, seperti pakaian berjenama, barangan dapur, dan sebagainya. Strategi fukubukuro sangat baik dalam perniagaan untuk menghabiskan stok tahun sebelumnya dengan harga yang rendah. Saya tidak pernah beli fukubukuro sepanjang berada di Jepun. Saya tidak berkeinginan pun untuk membeli perkara yang tidak perlu :) 

Hari ini saya hanya duduk di depan komputer di pejabat untuk menyiapkan kerja-kerja yang perlu diselesaikan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...