Monday, April 17, 2017

Kesahan dan Kebolehpercayaan Modul

Lama sudah tidak menulis.
Sebenarnya hendak tukar hosting, tapi tak terbuat-buat.
Hosting sekarang perlahan, jadi saya ingin pindahkan ke blogspot.
Hmm..semoga ada masa

Hari ini Ahad, tapi gigihkan diri demi ilmu untuk hadir Bengkel Kesahan dan Kebolehpercayaan Modul oleh PM Dr Jamaludin Ahmad dari Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM.
Beliau merupakan pakar modul motivasi.
Bengkel ini bayar sendiri tau, takde orang taja...huhu...

Saya kongsikan beberapa isi penting bengkel tersebut tentang kajian yang melibatkan modul untuk rujukan saya sendiri dan rakan-rakan yang berminat.



Buku penceramah berkaitan pembinaan modul motivasi yang menjadi rujukan.

Definisi Modul
Bahan/alat/sumber yang mengandungi aktiviti sistematik untuk mencapai objektif yang ditetapkan

Jenis Modul
1- Berbantukan fasilator
2- Tidak berbantukan fasilitator (kendiri)

Komponen Kajian Modul
1- Bina
2- Kesahan
3- Kebolehpercayaan
4- Keberkesanan
*Kajian PhD wajib ada semua komponen, manakala Sarjana minimum 2 komponen.

Komponen Bina
3 Cara Bina Modul
1- Ambil 100% modul sedia ada
2-Adaptasi
3-Buat baharu

Cara 1 dan 2 wajib menyediakan evidens kebenaran pembangun asal.

Aspek yang wajib diambil kira dalam pembinaan modul ialah
1- Model pembinaan modul (ie. Model Sidek, Model Russel)
2-Teori yang menyokong dalam merancang aktiviti bagi mencapai objektif modul. (i.e: teori konstruktivisme, teori sensori numerik)

*Bezakan objektif kajian dengan objektif modul.
Contoh:
Objektif kajian anda mungkin (1) membina dan (2) menguji keberkesanan modul kesedaran fizik.
Objektif modul anda mungkin (1) peserta dapat memahami apa itu fizik (2) peserta dapat mengemukakan contoh aplikasi fizik.
Jadi, apabila membina modul, pastikan objektif modul anda dinyatakan dengan tepat bagi mencapai objektif kajian.

Ketiga-tiga cara bina modul hendaklah melalui proses kajian rintis.
Tujuan kajian rintis ini ialah untuk mengenal pasti kelemahan modul.
Minimum 30 sampel dengan persekitaran yang sama dengan persekitaran kajian kelak.
Proses kajian rintis ini melibatkan maklum balas sampel secara terbuka dan pemerhatian pengkaji bagi mendapatkan kelemahan modul untuk diperbaiki.
Tiada instrumen khas/piawai untuk proses kajian rintis.

Komponen Kesahan
Instrumen: Borang Kesahan -> mengukur peratus persetujuan berdasarkan purata

Kesahan sesuatu modul ialah ukuran ketepatan aktiviti modul dalam mencapai objektif pembinaannya.
Setelah diperbaiki, proses kesahan dijalankan.
Terdapat pelbagai jenis kesahan seperti kesahan muka, kesahan kandungan, kesahan gagasan yang bergantung kepada jenis modul yang ingin dibangunkan.
Borang kesahan pakar yang mengandungi 5 item (rujuk contoh borang dalm buku) diberi kepada 3 pakar atau lebih, dengan purata persetujuan >70% diterima secara amnya sebagai modul yang sah.
Contoh: Pakar 1 (90%), Pakar 2 (80%), Pakar 3 (50%) = Purata 73% --> Modul Sah!
Pakar ditakrif sebagai seseorang yang pernah menulis buku, terbitan dan ceramah berkaitan modul.

Komponen Kebolehpercayaan
Instrumen:
(1) Borang Soal Selidik Kebolehpercayaan -> mengukur pekali Alfa Cronbach (edar kepada peserta)
(2) Borang Soal Selidik Ketepatan Item Kebolehpercayaan -> mengesahkan item Borang Soal Selidik Kebolehpercayaan (beri pada pakar)

Kebolehpercayaan sesuatu modul ialah ukuran  kebolehan modul untuk mencapai objektifnya dari pandangan peserta atau kebolehan untuk setiap aktiviti dapat diikuti oleh peserta.

Terdapat dua kaedah pengukuran kebolehpercayaan iaitu
1- Kebolehpercayaan berdasarkan objektif modul
2- Kebolehpercayaan berdasarkan langkah-langkah aktiviti modul

Untuk itu, satu Soal Selidik Kebolehpercayaan hendaklah dibangunkan, dan disahkan menggunakan Soal Selidik Ketepatan Item Kebolehpercayaan.

Saya hanya memberi contoh Pengukuran Kebolehpercayaan Jenis 1.
Menurut penceramah, salah satu kaedah boleh dijalankan untuk mendapatkan kebolehpercayaan modul.
Kaedah pertama lebih mudah dijalankan.

Contoh: Objektif Modul 1 adalah
(1) Peserta dapat mentakrifkan daya.
(2) Peserta dapat menyelesaikan masalah berkaitan daya.

Item yang ada dalam Soal Selidik Kebolehpercayaan tersebut ialah
(1) Saya dapat mentakrifkan daya.                                       (1)(2)(3)(4)(5)
(2) Saya dapat menyelesaikan masalah berkaitan daya  (1)(2)(3)(4)(5)

Sampel dikehendaki memberi skala persetujuan mereka dan maklumbalas mereka diambil kira untuk mendapatkan alfa Cronbach.

Berapa ramai sampel untuk tujuan kebolehpercayaan? 20 orang adalah memadai, dan pastikan mereka merupakan kelompok sampel yang lain daripada kelompok kajian rintis.

Sampel untuk kebolehpercayaan ini hendaklah lain daripada sampel kajian rintis.
Nilai alfa Cronbach ini bergantung kepada bidang modul anda, selalu >70% diterima sebagai kebolehpercayaan tinggi.

Sebelum Soal Selidik Kebolehpercayaan diedarkan, satu borang Soal Selidik Ketepatan Item Kebolehpercayaan hendaklah disediakan untuk mengesahkan Soal Selidik Kebolehpercayaan.
Borang ini boleh sahaja diisi oleh penyelia untuk mengesahkan bahawa item Soal Selidik Kebolehpercayaan telah dipetakan dengan baik dengan objektif modul.
Dua atau lebih selain Pakar Kesahan dalam proses kesahan boleh membuat pengesahan ini.

Komponen Keberkesanan
Instrumen: Soal selidik/Ujian inventori -> mengukur pembolehubah yang ditetapkan dalam kajian seperti pencapaian, sikap, persepsi

Untuk mendapatkan keberkesanan modul, beberapa rekabentuk ujikaji boleh dilaksanakan.

Antaranya ialah kajian ekperimental.

Sebagai contoh modul dibangunkan untuk meningkatkan pencapaian pelajar dalam topik daya.
Sampel dibahagikan kepada kumpulan rawatan (menerima modul) dan kumpulan kawalan (kaedah biasa/perbandingan).

Maka satu ujian inventori diedarkan sebelum (praujian) dan selepas (pascaujian) sampel menerima rawatan.

Ujian inventori itu sendiri hendaklah melalui proses kesahan dan kebolehpercayaan berasingan daripada proses kesahan dan kebolehpercayaan modul.

Setelah itu analisis data dilakukan berdasarkan objektif kajian.

Nota tambahan
Modul yang melibatkan rawatan dalam tempoh masa panjang seperti modul PdP yang bersifat kendiri boleh diuji kajian rintis, kesahan dan kebolehgunaannya menggunakan salah satu submodul kandungan yang paling sukar.

Tidak perlu keseluruhan modul menjalani proses tersebut.

Refleksi Kendiri
Melalui bengkel ini, saya dapat membezakan antara proses kesahan dan kebolehpercayaan bagi modul dan bagi soal selidik untuk kajian tinjauan/ujian diagnostik/inventori.

Selepas ini saya ingin mengetahui proses kesahan dan kebolehpercayaan bagi sesuatu produk seperti app mobil kerana saya dapati terdapat konsep lain iaitu kebolehgunaan (usability) bagi kajian pembangunan produk.

Bengkel ini amat berbaloi bagi saya yang terlibat menyelia dan menjalankan penyelidikan pendidikan berasaskan pembangunan modul PdP.

Berikut merupakan ringkasan bengkel, hakcipta dari Dr Jamaludin sendiri, bukan saya ya.



JIKA ADA SEBARANG KESALAHAN FAKTA MOHON MAKLUMKAN

 

 

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...